Saturday, 17 November 2012

SEDIKIT SEBANYAK BERKAITAN PEMUNGKIRAN PERTUNANGAN



Peruntukan dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984[1] adalah seperti berikut:

Jika seseorang telah mengikat satu pertunangan mengikut Hukum Syarak sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab-sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan di Mahkamah.

Dalam kes Mohd Azla bin Kamaruddin lwn Mokhtar bin Hashim & Anor. Dalam kes ini Pemohon dan Defendan kedua telah bertunang pada 14 April 1996. Sewaktu dalam majlis pertunangan pemohon telah memberikan beberapa hadiah hantaran yang berjumlah RM10.050 kepada defendan kedua. Pemohon dan Defendan kedua juga telah menetapkan tarikh bernikah iaitu pada 18 May 1996 dan bersanding pada 19 Jun 1996. Pada peringkat awal tidak ada apa-apa masalah, tetapi dalam masa yang singkat berlaku pergeseran antara kedua-kedua pihak sehingga pertunangan itu terputus dalam satu majlis yang diadakan di rumah keluarga pihak Pemohon pada 6 May 1996 di mana dalam majlis tersebut dihadiri oleh wakil-wakil pihak Pemohon, Defendan kedua dan Pemohon sendiri. Antara punca-punca Defendan kedua memutuskan pertunangan ialah dengan alasan rasa terhina kerana saudara Pemohon telah membuat tuduhan bahawa dia tidak suci dan dan bukan anak dara lagi ibarat kelapa ditebuk tupai. Pemohon telah memohon Gantirugi Am kerana malu dan juga telah membuat tuntutan ganti rugi mungkir pertunangan dan mendakwa bahawa defendan akan membayar ganti rugi sebanyak dua kali ganda hadiah hantaran. Mahkamah memutuskan wujudnya mungkir pertunangan. Mahkamah memerintahkan membayar balik kepada Pemohon secara dua kali ganda iaitu jumlah keseluruhan sebanyak RM 22,500.00. Mahkamah telah menolak permohonan Gantirugi Am kerana malu disebabkan putusnya pertunangan sebanyak RM 50,000.00 kerana tidak terdapat di dalam peruntukan undang-undang.

Peruntukan yang sama terdapat dalam Enakmen-enakmen negeri-negeri yang lain, sebagai contoh Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Kedah 1962.[2] Dalam kes di Kedah Aishah lwn Jamaludin[3], seorang lelaki telah mungkir perjanjian untuk berkahwin dengan perempuan yang berkenaan menuntut pembayaran maskahwin RM25, belanja kahwin RM800 dan dia juga mendakwa hak menyimpan cincin pertunangan. Kadi Besar telah memberi penghakiman bagi pihak perempuan dan memerintahkan lelaki itu membayar gantirugi mengikut perjanjian pertunangan itu, iaitu maskahwin RM25, belanja RM800 dan dia memutuskan perempuan itu berhak menyimpan cincin pertunangan. Dia juga menghukumkan pembayaran RM25 bagi baju-baju yang telah disiapkan untuk perkahwinan itu dan RM400 pembayaran membaiki rumah untuk perkahwinan itu.

Biasanya, terdapat beberapa perkara yang dipersetujui dalam upacara pertunangan dan ada kalanya ini menimbulkan perselisihan. Dalam kes Hussin lwn Moh[4] di Kelantan, pihak kena tuntut (perayu) telah meminang anak perempuan pihak yang menuntut untuk anak lelakinya. Pertunangan telah diadakan dan telah dipersetujui perkahwinan diadakan dengan maskahwin sebanyak RN500. Pihak menuntut telah membelanja RM350.40 untuk persiapan perkahwinan itu. Pihak kena tuntut meminta supaya maskahwin itu dibayar RM300 wang tunai dan RM200 barang-barang akan tetapi ini ditolak. Pihak menuntut telah meminta ganti rugi dan Mahkamah Kadi telah menghukumkan pihak kena tuntut membayar RM350.40. Pihak kena tuntut telah membuat rayuan. Mahkamah Jemaah Pengadilan telah menerima rayuan dan hukuman Mahkamah Kadi telah dibatalkan. Dalam keputusannya, Mahkamah itu berkata tidak ada sebab sah bagi pihak kena tuntut (perayu) tidak mahu menerima cadangan pihak menuntut hendak membawa maskahwin yang tersebut, iaitu sebahagian wang tunai dan sebahagian barang-barang.

Dalam kes Nafsiah lwn Abdul Majid,[5] telah diputuskan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil di Malaya mempunyai bidang kuasa mendengar tuntutan gantirugi daripada kemungkiran perjanjian hendak berkahwin, walaupun pihak-pihak dalam kes itu orang Islam. Diputuskan tuntutan itu boleh dibuat sebagai kemungkiran kontrak di bawah Akta Kontrak 1950, dan oleh kerana dalam kes itu telah terdapat pembuktian yang cukup bahawa pihak kena tuntut telah berjanji hendak berkahwin dengan pihak menuntut dan pihak kena tuntut telah mungkir janji itu, pihak kena tuntut berhak mendapat gantirugi yang ditaksirkan berjumlah RM1,200.
Oleh kerana itu, percanggahan telah timbul antara undang-undang Islam yang ditadbirkan di Mahkamah Syariah dan undang-undang sivil yang ditadbirkan oleh Mahkamah Sivil. Perkara itu adalah aneh dikenakan kepada orang-orang Islam, sungguhpun tuntutan untuk kemungkiran perjanjian berkahwin telah dihapuskan di England. Dalam kes Doris Rodnigues lwn Bala Krisnan[6], Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa Akta Pembaharuan Undang-undang (Peruntukan-peruntukan bermacam-macam) 1970, di England tidak terpakai di Malaysia disebabkan oleh kerana Akta Undang-undang Sivil 1956 dan Akta Kontrak 1950. Walau bagaimanapun bagi orang-orang Islam, jelaslah mahkamah-mahkamah sivil tidak lagi mempunyai bidang kuasa dalam perkara kemungkiran perjanjian berkahwin, oleh kerana perkara itu termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.[7]



[1] Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, s 15.
[2] Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam kedah 1962, s 119.
[3] (1978) 3 JH 104.
[4] (1972) 1 JH (1) : 44.
[5] [1969] 2 MLJ 174.
[6] [1982] 2 MLJ 77.
[7] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 121 (1A).

No comments:

Post a Comment