Saturday, 17 November 2012

PENGURUSAN JENAZAH DAN AMALAN ATAU ADAT KEBIASAAN AGAMA KRISTIAN KATOLIK

PENDAHULUAN

Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan merasai mati. Itulah lumrah alam. Kerana setiap yang hidup mesti akan mati. Tidak ada pilihan selain dari itu. Cuma yang berbeza ialah ketika mana dan bagaimana kematian itu datang menjemput. Kematian adalah sesuatu yang pasti dan kita harus bersedia menghadapinya kerana ia merupakan titik permulaan kepada penghidupan yang kekal abadi. Hanya mukmin yang dipanggil menghadap Tuhannya dengan hati bersih memperolehi kejayaan.

Setiap agama dan bangsa juga mempunyai adat-istiadat, tradisi dan amalan pengkebumiannya dengan cara-cara yang tersendiri. Amalan ini biasanya akan mengikut perkara-perkara yang telah pun diatur dalam sesuatu agama dan tradisi berdasarkan budaya turun-temurun orang-orang terdahulu khususnya masyarakat.

Suku kaum Kadazandusun khususnya di daerah Penampang juga masih mempraktikkan beberapa kepercayaan serta pantang larang yang diperturunkan sejak zaman-berzaman lagi. Walau bagaimanapun, dalam kajian atau tugasan ini, saya akan cuba mengetengahkan amalan upacara pengkebumian mayat masyaratat Kadazan Penampang yang beragama kristian Katolik. Harus juga maklum bahawa, walaupun agama Katolik menegaskan supaya mematuhi upacara pengkebumian yang ditetapkan oleh Undang-undang Canon, namun masih banyak yang ‘suka’ mencampur adukkan elemen-elemen adat turun-temurun.

1)                  PENGURUSAN JENAZAH DAN AMALAN ATAU ADAT KEBIASAAN AGAMA KRISTIAN KATOLIK 

Beberapa amalan atau adat kebiasaan keagamaan Katolik mengenai pengurusan jenazah boleh dibahagikan  kepada tiga peringkat. Antara peringkat-peringkat tersebut ialah:-

a)      Membawa Jenazah Ke Gereja

Peringkat pertama membabitkan padri paroki dan padri-padri lain datang ke rumah orang yang meninggal dunia itu. Selalunya seorang padri akan membawa salib manakala seorang padri ataupun pembantu akan membawa bekas yang mengandungi air suci. Sebelum kafan yang memuatkan jenazah dibawa keluar daripada rumah ia dipercik atau direnjis dengan air suci dulu. Padri, bersama-sama dengan para pembantunya, akan bermazmur De profundis dengan dendangan Si iniquitates. Kemudian perarakan diteruskan ke gereja. Pembawa salib akan mendahului, diikuti oleh para pembantu padri membawa lilin yang dinyalakan. Padri akan berjalan mendahului kafan yang memuatkan jenazah, diikuti oleh saudara-mara serta kawan-kawan kepada orang yang telah meninggal dunia itu atau para umat.

Semasa meninggalkan rumah orang yang meninggal tersebut, padri akan berzikir atau beratib antifon Exsultabunt Domino, dan kemudian rangkap-rangkap mazmur Miserere disebutkan atau didikirkan bergilir-gilir oleh para pendikir dan padri. Sesampainya di gereja antifon Exsultabunt diulang. Semasa jenazah (dalam kafan) diletakkan “di tengah-tengah gereja” sahutan Subvenite dilafazkan.

Wujud juga peraturan bahawa semasa di altari dan di kuburan, semua penganut Kristian harus mengarahkan kaki ke arah Timur manakala kepala mengarah ke Barat.

http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/5/50/John_Hughes_burial_-_Brady-Handy.jpg/220px-John_Hughes_burial_-_Brady-Handy.jpghttp://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/c/cc/Canterbury_Cathedral_072_Funeral_Procession_from_Healing_window.JPG/220px-Canterbury_Cathedral_072_Funeral_Procession_from_Healing_window.JPG
                 [Pembawaan jenazah ke Gereja]      [Perarakan upacara pengkebumian]

b)     Upacara Di Gereja

Peringkat kedua ialah rangkaian doa-doa, Misa pengkebumian, dan pengampunan dosa. Lilin-lilin dinyala dan diletakkan di sekeliling kafan yang memuatkan jenazah, dan ianya dinyalakan sepanjang masa pada peringkat ini.
Doa-doa yang diberikan ialah khas Office of the Dead. Dalam doa-doa ini, Misa bagi orang yang telah meninggal (Missa de Requie) dibezakan daripada Misa-Misa biasa dengan beberapa penyesuaian. Pada kebiasaannya, padri akan memakai jubah berwarna ungu atau hitam, dan kafan yang memuatkan jenazah ditutup dengan kain rahap putih.

Doa-doa pengampunan bagi orang yang telah meninggal dunia didoakan semasa Misa Requim dan sebelum pengkebumian. Doa pengampunan ini bukan untuk mengampunkan dosa-dosa tetapi beberapa rangkaian doa permohonan kepada Tuhan supaya roh orang yang telah meninggal dunia terlepas daripada hukuman kesengsaraan di api pencucian disebabkan dosa-dosa yang telah diampuni semasa hidupnya.

http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/0/00/Folio_199v_-_A_Funeral_Service.jpg/220px-Folio_199v_-_A_Funeral_Service.jpg
[Acara Pengkebumian di gereja]

c)   Upacara Di Kuburan

Selepas upacara doa pengampunan (absolution) jenazah kemudiannyan dibawa ke tanah perkuburan. Makam atau tempat kuburan kemudiannya diberkati, jika belum diberkati lagi. Kuburan yang baru dikorek di makam atau perkuburan yang telah ditahbiskan dianggap telah diberkati, dan tidak perlu lagi ditahbiskan lagi. Walau bagaimanapun, makam yang dibina di permukaan tanah atau bilik yang dibina daripada batu-bata pada permukaan perlu diberkati bila digunakan pada kali pertama. Pemberkatan ini yang mengandungi doa khas singkat dimana jenazah perlu dipercik atau direnjis dengan air suci dan dikemenyankan akan mengambil masa yang singkat sahaja.

Padri dan yang hadir akan berdikir antifon “Akulah Kebangkitan dan Kehidupan”, kemudian jenazah dalam kafan diturunkan atau dimasukkan dalam kuburan atau makam dan Canticle Benedictus disebut atau dinyanyikan. Antifon diulang lagi, Doa Bapa Kami didoakan sementara kafan direnjis dengan air suci. Akhir sekali, selepas sekali dua sahutan, doa berikut dilafazkan:-

“Kabulkanlah belas kasihan ini, ya Tuhan, kami mohon Engkau, kepada hambaMu yang telah meninggal, supaya dia tidak menerima hukuman atas segala perbuatannya yang mengkehendakkan kehendakMu, sebagai satu iman bersatu di sini bersama-sama, supaya belas kasihanMu mempersatukan dia di atas kepada para malaikat. Melalui Jesus Kristus, Tuhan kami. Amen.”

Doa permohonan terakhir yang dilakukan padri ialah “Semoga rohnya dan roh-roh saudara-saudara seiman yang telah meninggal diatas belas kasihan Tuhan berehat dengan aman.” Maka di sini, berakhirlah upacara pengkebumian.

http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/5/57/Burial_at_Ornans.jpg/250px-Burial_at_Ornans.jpg
                                              [Upacara di kuburan]

Secara kesimpulannya, Sebelum panduan ringkas cara-cara bagaimana upacara pengurusan jenazah mengikut upacara pengkebumian mayat masyaratat Kadazan Penampang yang beragama kristian Katolik ini diakhiri, harus disentuh di sini bahawa mayat haruslah dimandikan dahulu berserta dengan doa khas samada oleh pihak keluarga atau pengurus mayat. Namun jika mayat dimandikan oleh pihak keluarga atau pihak pengurusan pengkebumian mayat, selepas memandikan mayat dan memakai pakaian yang telah disediakan khas, jika tidak ada padri pada ketika itu, maka katikis atau pembantu padri merupakan orang yang bertanggungjawab bagi upacara memimpin doa.

Pada kebiasaannya, doa rosari akan diadakan di kediaman orang yang telah meninggal dunia selama tujuh malam atau hari berturut, dan ada juga yang mengadakannya selama empat puluh hari berturut-turut.

2)                  PANTANG LARANG DAN UNDANG-UNDANG AGAMA KATOLIK DALAM PEGURUSAN JENAZAH/MAYAT

Masyaratat Kadazan Penampang yang beragama Kristian Katolik juga amat menitikberatkan pantang larang yang mana pantang larang sangat berkait rapat dengan undang-undang yang tersendiri. Antara undang-undang dalam pengurusan jenazah tersebut ialah:-

                   I.            Undang-Undang Canon (Undang-undang Agama Kristian) Berhubungkait Pengkebumian Katolik.

Umumnya, para penganut Katolik haruslah dikebumikan secara pengkebumian Katolik apabila meninggal dunia. Seseorang yang masih dalam proses belajar menjadi seorang Katolik adalah dianggap sebagai penganut, dan orang biasa tempatan dimana ibu bapa bagi kanak-kanak yang meninggal dunia yang belum dibaptis tetapi berhajat mahu anak  mereka dibaptis diperbolehkan bagi pengkebumian sebagai seorang Katolik.

Disebaliknya, upacara pengkebumian Katolik tidak dibenarkan seperti berikut, kecuali ada tanda-tanda pertaubatan daripada mereka sebelum meninggal:-

                    i.            Orang-orang yang diketahui melakukan kesalahan sebagai murtad, bidaah atau perbezaan kepercayaan;
                  ii.            Mereka yang mohon dibakar mayat untuk motif-motif anti-Kristian;
                iii.            Manifestasi para pendosa, jika kebenaran diberi bagi Gereja upacara pengkebumian kepada mereka mendatangkan skandal kepada penganut Katolik.

Lain-lain peraturan undang-undang canon berkaitan dengan gereja di mana upacara-upacara pengkebumian diraihkan, yuran pengkebumian yang dibayar kepada padri kerana menjalankan pengkebumian dan tempat kuburan di mana mereka dikebumikan.

Mengikut liturgi biasa dan undang-undang canon berkaitan dengan perayaan Misa-Misa (upacara sembahyang) pengkebumian, selalunya tidak diadakan pada hari Ahad (kecuali pada waktu petang), dan tidak juga pada hari-hari solemnity (Hari kebesaran) dan hari-hari kudus yang lain. Ia tidak boleh juga dirayakan pada Hari Tiga Abu (setahun sekali) atau pada waktu Minggu Kudus dari Hari Minggu Palma sampai Rabu. Ia juga ditegah pada dua minggu terakhir musim Puasa dan Adven. Ia dilarang untuk dirayakan sama sekali pada Hari Khamis Kudus, Hari Jumaat Kudus, Hari Sabtu Kudus, Hari Minggu Paska, dan pada malam dan Hari Krismas, pada 1 Januari, dan juga sehari sebelum Krismas dan 1 Januari.

a)      Liturgi

Misa upacara pengkebumian merupakan Misa Requiem iaitu upacara sembayang di gereja untuk roh orang yang mati, Réquiem ætérnam dona eis, Dómine; et lux perpétua lúceat eis. (Peristirehatan kekal berikanlah pada mereka, ya Tuhan; dan berilah cahaya kekal menerangi mereka selama-lamanya).

Jenazah diletakkan di tengah-tengah dekat dengan sanctuary atau tempat suci dimana meja ibadat atau altari ditempatkan. Kaki orang yang telah meninggal dihadapkan ke arah altari.  Misa pengkebumian diakhiri dengan upacara pujian terhadap orang yang telah meninggal, di mana kafan yang memuatkan jasad dipercik dengan air suci dan dikemenyankan. Namun menurut agama kristian katolik ini pantang larang yang lebih
ketat dan lebih spesifik sewaktu menguruskan jenazah tidak begitu diamalkan dalam agama mereka tetapi kebanyakkan hanya wujud pada adat masyarakat mereka sahaja.[1]

3)                  PERBANDINGAN PENGURUSAN JENAZAH ISLAM DENGAN KRISTIAN YANG BERAGAMA KATOLIK

Dalam masyarakat hari ini yang berbilang kaum dan agama mempunyai cara yang tersendiri untuk menguruskan jenazah atau mayat apabila berlakunya kematian. Mengurus jenazah atau mayat bagi orang bukan islam merupakan perkara yang mesti dan wajib dilaksanakan oleh sesetengah pihak atau masyarakat yang telah diamanahkan oleh padri-padri mereka. Dalam agama Islam orang yang berhak dan lebih afdal untuk menguruskan jenazah ialah dari kalangan keluarganya atau warisnya yang terdekat misalnya, anaknya sendiri kalau simati bapanya. Kalau warisnya tidak ada kemampuan atau pengalaman, bolehlah diminta Imam atau Bilal di kawasan tersebut untuk menguruskannya.

Namun dalam agama Islam itu sendiri mengurus jenazah orang Islam, merupakan fardhu kifayah, yakni apabila sudah dikerjakan oleh sebahagian dari orang Islam yang lain, maka yang lainnya tidak berdosa, akan tetapi apabila tidak seorang pun yang mengerjakan kewajipan tersebut, maka semua masyarakat atau orang Islam yang berada di dalam satu kampung atau kawasan tersebut akan berdosa.

Agama Kristian yang beragama Katolik juga merupakan agama yang sangat menitikberatkan soal pengurusan jenazah atau mayat yang mana ada sebahagian cara pengurusan mereka lebih kurang sama dengan pengurusan jenazah dalam Islam. Dalam Islam antara kewajipan masyarakat yang perlu dikerjakan dalam mengurus jenazah ialah memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, solat ke atas jenazah dan akhir sekali iaitu mengkebumikan jenazah. Dalam aspek-aspek tersebut terdapat persamaan dan perbezaan dalam pengurusan terhadap jenazah Islam dan Kristian katolik , antaranya ialah:-


1)      Memandikan Jenazah

Ø  Agama Islam

Salah satu daripada mandi yang diwajibkan ialah memandikan mayat dan adalah fardu kifayah dan disyaratkan :

                     i.            Mayat itu mayat orang Islam.
                   ii.            Mayat itu ada tubuh walau sedikit sekalipun.
                 iii.            Mayat itu bukan mati syahid ma'rakah.

Ø  Agama Kristian Katolik

Dalam masyarakat Kadazan Penampang yang beragama kristian Katolik juga, jenazah ataupun mayat itu haruslah dimandikan dahulu berserta dengan doa khas samada oleh pihak keluarga atau pengurus mayat. Ia adalah sama dengan cara pengurusan jenazah dalam islam.

2)      Mengkafankan Jenazah

Ø  Agama Islam

Fardu Kifayah yang kedua terhadap mayat orang Islam ialah kapan. Setelah selesai dimandikan dan disalin kainnya dengan kain yang bersih, mayat dikapankan iaitu:-

                    i.            Kain kapan telah disediakan, yang wajibnya selapis bagi lelaki dan perempuan. Dan afdal bagi lelaki tiga lapis bungkus lepuk (tanpa baju dan serban) menggunakan kain kapan berwarna putih menutup seluruh badannya dan salah satu daripadanya kain pakai atau tiga lapis selain daripada kain pakai dan boleh dipakai baju dan serban dengan dua lapis kain kapan yang lain.

Manakala bagi mayat perempuan afdal lima lapis iaitu kain pakai di pinggang, baju, telekung atau kain tudung kepala dan dua lapis kain kapan yang lain menutup semua tubuhnya (badan mayat). 

                  ii.            Kain kapan dihampar sehelai demi sehelai dan ditaburkan di atasnya dengan serbuk pewangi seperti debu kayu gaharu atau kapur baruh atau sebagainya dialas di atas kain kapan dengan kapas dan direnjis air mawar atau sebagainya.

                iii.            Mayat lelaki dipakai kain lebih dahulu baru diletak di atas kain kapan tersebut, kedua tangan mayat diletak ke atas badannya, tangan kanan diletak di atas di atas tangan kirinya seperti semasa kiam sembahyang atau kedua-dua tangannya diluruskan menurut badannya.

Dan bagi mayat perempuan dipakai kainnya, bajunya lebih dahulu kemudian baru diletak di atas kain kapan yang terhampir itu. Tangannya diletak sama seperti lelaki juga kemudian dipakai telekung atau kain tudung kepala.

                iv.            Kapas digunakan untuk menutup lipatan-lipatan badan, sendi-sendi dan muka si mati sebelum dibungkus dengan kain kapan.

                  v.            Kain kapan hendaklah ditutup (dibalut tubuh si mati) selapis demi selapis kemudian diikat dengan tali daripada kain putih juga jika ada supaya tidak terbuka. Sebaik-baik ikatan lima ikatan iaitu di bahu, di punggung, di betis, di hujung kepala dan hujung kaki. Ikatan itu dibuka semasa hendak dikebumikan dan setelah dimasukkan ke dalam kubur.

Ø  Agama Kristian Katolik

Manakala dalam masyaratat Kadazan Penampang yang beragama Kristian Katolik pula, agama ini tidak mengkafankan mayat simati, mereka hanya memakaikan baju yang paling cantik untuk simati atau baju kegemaran simati semasa hayat simati. Contohnya bagi mayat yang masih remaja (perempuan) akan dikenakan gaun pengantin dan bagi mayat orang tua akan dikenakan baju kegemaran semasa hayat simati.

Tidak ada perbezaan helaian atau jenis kain kepada simati, kerana ianya sama sahaja antara lelaki dan perempuan, yang penting baju itu cantik dan merupakan pakaian kegemaran simati.
Kain putih akan diletakkan di atas keranda dengan berbentuk salib, samada diletakkan sahaja atau dipakukan.

3)      Solat Ke Atas Jenazah

Ø  Agama Islam

Fardu kifayah yang ketiga wajib dilakukan ke atas mayat orang Islam ialah sembahyang iaitu setelah selesai kapan, mayat diletakkan di tempat yang suci atau di dalam usungan. Jika mayat lelaki kepalanya di sebelah kiri orang yang hendak sembahyang ke atasnya, dan kakinya di sebelah kanan mereka tersebut.  Dan jika mayat perempuan adalah sebaliknya dan diletak terlentang melintang kiblat di sebelah hadapan. Orang hendak sembahyang ke atasnya dan ditudung dengan kain yang bersih.  Rukun sembahyang jenazah Islam ada tujuh perkara iaitu:-

                                i.            Niat sembahyang ke atas mayat.
                              ii.            Takbir Allahuakbar empat kali.
                            iii.            Berdiri betul bagi orang yang berkuasa.
                            iv.            Membaca Al-Fatihah selepas Takbiratul Ihram.
                              v.            Berselawat ke atas Nabi SAW selepas takbir kali yang kedua.
                            vi.            Doa bagi si mati selepas takbir yang ketiga.
                          vii.            Memberi salam "Assalamualaikum warahmatullah" selepas takbir yang keempat.

Ø  Agama Kristian Katolik

Manakala dalam masyaratat Kadazan Penampang yang beragama Kristian Katolik pula, pengurusan dilakukan oleh pembantu-pembantu padri manakala upacara sembahyang dan doa pemberkatan akan diketuai oleh padri.

Mayat akan dibawa ke gereja diketuai oleh padri yang membawa salib, disusuli dengan pembantu padri yang membawa bekas air suci dan lilin, sebelum itu, padri akan memercikkan air suci ke keranda sebelum perarakan dimulakan. Seterusnya padri bersama pembantunya membaca doa sepanjang perarakan kegereja.

Tiba digereja, keranda akan diletakkan di tengah-tengah gereja dengan kaki simati kesebelah utara dan kepala disebelah barat, iaitu kaki berhadapan dengan Altar. Sementara itu, padri telah bersedia di hadapan altar, para pembantu akan meletakkan lilin di sekeliling keranda, dan upacara sembahyang dan doa pemberkatan dimulakan. Doa-doa pemgampunan juga akan dibacakan sehingga upacara selesai barulah dibawa ke tanah perkuburan.

4)      Mengkebumikan Jenazah

Ø  Agama islam

Fardu kifayah yang keempat terhadap mayat orang Islam iaitu mengebumikannya. Iaitu apabila seorang Islam mati wajiblah ia dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan (dikuburkan). Sekurang-kurang kubur yang wajib ialah yang dapat menahan daripada keluar bau dan terselamat daripada dibongkar oleh binatang buas. Dalamnya lebih daripada seperdirian manusia biasa sekadar setengah hasta dan sebaik-baiknya dibuat liang lahad (ini lebih afdal) iaitu dikorek lubang di sebelah kiblat lubang kubur sekadar termuat mayat jika tanah kubur itu keras (liat) tetapi jika tanah itu perus (mudah runtuh) memadai digali di tengah-tengah lubang kubur itu seperti parit bagi memudahkan letak mayat.

Ø  Agama Kristian Katolik

Manakala dalam masyaratat Kadazan Penampang yang beragama kristian Katolik pula, setelah selesai upacara sembahyang dan doa pemgampunan, mayat di bawa diperkarangan tanah perkuburan. Kuburan itu akan diberkati terlebih dahulu beserta doa khas dimana mayat juga perlu dipercik atau direnjis dengan air suci dan dikemenyankan.

Seterusnya padri akan berdikir antifon, kemudian mayat bersama keranda akan diturunkan atau dimasukkan dalam kuburan dan doa pengkebumian (centicle benedictus) dinyanyikan, antifon diulang beserta renjisan air suci dikeranda. Mengikut adat, sesiapa yang datang dalam upacara pengkebumian, setiap orang akan mengambil segenggam tanah dan dibuang kedalam kuburan tadi dan seterusnya doa khas akan di bacakan. Dan seterusnya doa permohonan terakhir akan dilakukan oleh padri. Dan kemudian tanah akan dikambus dan selesai pengkebumian.

5)                  PERBANDINGAN DAN HUBUNGKAIT KEPERCAYAAN DI ANTARA AGAMA ISLAM DENGAN AGAMA KRISTIAN KATOLIK MENGENAI KEHIDUPAN SELEPAS ALAM DUNIA

Bagi agama Islam, selepas kematian dan penyempurnaan pengkebumian, selepas tujuh  langkah imam yang membaca talkin itu melangkah dari kubur si mati itu, akan datang malaikat untuk menyoal amal simati.

Agama islam wajib percaya kepada hari kiamat. Pada hari itu, tiupan sangkakala yang pertama akan menyebabkan seluruh alam semesta termasuk langit dan bumi serta alam buana akan bergoncang dengan sebenar-benar goncangan dan benar-benar hebat, seluruh makhluk digambarkan ketakutan dan amat terperanjat. Kemudian tiupan kedua akan hancurlah semua bumi dan planet lain akan berlanggaran dan sebagainya. Tiupan ketiga semua makhluk akan dibangkitkan semula.

Manakala dalam agama Kristian Katolik pula, mereka juga mempercayai syurga dan neraka selepas kematian. Menurut kepercayaan agama mereka selepas kematian roh itu akan di tempatkan mengikut amalan semasa hidup simati didunia. Samada roh itu terus ke syurga ataupun roh itu akan kekal selamanya di neraka selepas berlakunya penyucian dosa mereka.

Selain itu, agama Kristian Katolik juga mempercayai hari kiamat, dimana pada hari itu, manusia akan dibangkitkan semula dan akan datang seorang raja (Jesus) untuk mengadili manusia yang hidup atau yang telah mati sebelum hari kiamat. Menurut dari kepercayaan mereka lagi, sesiapa yang telah dibaptiskan akan diselamatkan dan sebaliknya.
KESIMPULAN

Secara kesimpulannya daripada kajian yang telah dibuat, terdapat pelbagai cara yang dilakukan untuk menguruskan jenazah menurut agama yang berbeza. Dalam kajian ini apa yang dilihat bahawa agama Kristian Katolik juga sangat mementingkan keteraturan terhadap pengurusan jenazah atau mayat dalam masyarakat mereka apabila berlaku kematian. Ia juga melalui satu peringkat pengurusan mayat yang dilakukan dengan penuh adat istiadat yang tersendiri dan mementingkan undang-undang yang terdapat dalam adat dan mempunyai pantang larang masyarakat tersebut.

Selain itu seperti apa yang terdapat dalam agam Islam iaitu wajib mempercayai syurga dan neraka selepas kematian, begitu juga dengan agama Kristian Katolik mereka sangat percaya terhadap syurga dan neraka selepas kematian dan mengatakan Samada roh mereka yang sudah mati  itu akan terus ke syurga atau ke neraka selepas berlakunya penyucian dosa oleh tuhan mereka.















[1] Hasil temubual dengan Paul Mobiji, Penganut Agama Kristian Katolik (Holy Nativity Church Terawi, Kg. Terawi, Penampang, Sabah.

2 comments:

  1. Segala huraian maklumat yang menunjukkan perbandingan antara dua agama sangat membantu. Terima kasih :)

    ReplyDelete