Saturday, 17 November 2012

SEDIKIT SEBANYAK BERKAITAN PEMUNGKIRAN PERTUNANGAN



Peruntukan dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984[1] adalah seperti berikut:

Jika seseorang telah mengikat satu pertunangan mengikut Hukum Syarak sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab-sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan di Mahkamah.

Dalam kes Mohd Azla bin Kamaruddin lwn Mokhtar bin Hashim & Anor. Dalam kes ini Pemohon dan Defendan kedua telah bertunang pada 14 April 1996. Sewaktu dalam majlis pertunangan pemohon telah memberikan beberapa hadiah hantaran yang berjumlah RM10.050 kepada defendan kedua. Pemohon dan Defendan kedua juga telah menetapkan tarikh bernikah iaitu pada 18 May 1996 dan bersanding pada 19 Jun 1996. Pada peringkat awal tidak ada apa-apa masalah, tetapi dalam masa yang singkat berlaku pergeseran antara kedua-kedua pihak sehingga pertunangan itu terputus dalam satu majlis yang diadakan di rumah keluarga pihak Pemohon pada 6 May 1996 di mana dalam majlis tersebut dihadiri oleh wakil-wakil pihak Pemohon, Defendan kedua dan Pemohon sendiri. Antara punca-punca Defendan kedua memutuskan pertunangan ialah dengan alasan rasa terhina kerana saudara Pemohon telah membuat tuduhan bahawa dia tidak suci dan dan bukan anak dara lagi ibarat kelapa ditebuk tupai. Pemohon telah memohon Gantirugi Am kerana malu dan juga telah membuat tuntutan ganti rugi mungkir pertunangan dan mendakwa bahawa defendan akan membayar ganti rugi sebanyak dua kali ganda hadiah hantaran. Mahkamah memutuskan wujudnya mungkir pertunangan. Mahkamah memerintahkan membayar balik kepada Pemohon secara dua kali ganda iaitu jumlah keseluruhan sebanyak RM 22,500.00. Mahkamah telah menolak permohonan Gantirugi Am kerana malu disebabkan putusnya pertunangan sebanyak RM 50,000.00 kerana tidak terdapat di dalam peruntukan undang-undang.

Peruntukan yang sama terdapat dalam Enakmen-enakmen negeri-negeri yang lain, sebagai contoh Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Kedah 1962.[2] Dalam kes di Kedah Aishah lwn Jamaludin[3], seorang lelaki telah mungkir perjanjian untuk berkahwin dengan perempuan yang berkenaan menuntut pembayaran maskahwin RM25, belanja kahwin RM800 dan dia juga mendakwa hak menyimpan cincin pertunangan. Kadi Besar telah memberi penghakiman bagi pihak perempuan dan memerintahkan lelaki itu membayar gantirugi mengikut perjanjian pertunangan itu, iaitu maskahwin RM25, belanja RM800 dan dia memutuskan perempuan itu berhak menyimpan cincin pertunangan. Dia juga menghukumkan pembayaran RM25 bagi baju-baju yang telah disiapkan untuk perkahwinan itu dan RM400 pembayaran membaiki rumah untuk perkahwinan itu.

Biasanya, terdapat beberapa perkara yang dipersetujui dalam upacara pertunangan dan ada kalanya ini menimbulkan perselisihan. Dalam kes Hussin lwn Moh[4] di Kelantan, pihak kena tuntut (perayu) telah meminang anak perempuan pihak yang menuntut untuk anak lelakinya. Pertunangan telah diadakan dan telah dipersetujui perkahwinan diadakan dengan maskahwin sebanyak RN500. Pihak menuntut telah membelanja RM350.40 untuk persiapan perkahwinan itu. Pihak kena tuntut meminta supaya maskahwin itu dibayar RM300 wang tunai dan RM200 barang-barang akan tetapi ini ditolak. Pihak menuntut telah meminta ganti rugi dan Mahkamah Kadi telah menghukumkan pihak kena tuntut membayar RM350.40. Pihak kena tuntut telah membuat rayuan. Mahkamah Jemaah Pengadilan telah menerima rayuan dan hukuman Mahkamah Kadi telah dibatalkan. Dalam keputusannya, Mahkamah itu berkata tidak ada sebab sah bagi pihak kena tuntut (perayu) tidak mahu menerima cadangan pihak menuntut hendak membawa maskahwin yang tersebut, iaitu sebahagian wang tunai dan sebahagian barang-barang.

Dalam kes Nafsiah lwn Abdul Majid,[5] telah diputuskan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil di Malaya mempunyai bidang kuasa mendengar tuntutan gantirugi daripada kemungkiran perjanjian hendak berkahwin, walaupun pihak-pihak dalam kes itu orang Islam. Diputuskan tuntutan itu boleh dibuat sebagai kemungkiran kontrak di bawah Akta Kontrak 1950, dan oleh kerana dalam kes itu telah terdapat pembuktian yang cukup bahawa pihak kena tuntut telah berjanji hendak berkahwin dengan pihak menuntut dan pihak kena tuntut telah mungkir janji itu, pihak kena tuntut berhak mendapat gantirugi yang ditaksirkan berjumlah RM1,200.
Oleh kerana itu, percanggahan telah timbul antara undang-undang Islam yang ditadbirkan di Mahkamah Syariah dan undang-undang sivil yang ditadbirkan oleh Mahkamah Sivil. Perkara itu adalah aneh dikenakan kepada orang-orang Islam, sungguhpun tuntutan untuk kemungkiran perjanjian berkahwin telah dihapuskan di England. Dalam kes Doris Rodnigues lwn Bala Krisnan[6], Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa Akta Pembaharuan Undang-undang (Peruntukan-peruntukan bermacam-macam) 1970, di England tidak terpakai di Malaysia disebabkan oleh kerana Akta Undang-undang Sivil 1956 dan Akta Kontrak 1950. Walau bagaimanapun bagi orang-orang Islam, jelaslah mahkamah-mahkamah sivil tidak lagi mempunyai bidang kuasa dalam perkara kemungkiran perjanjian berkahwin, oleh kerana perkara itu termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.[7]



[1] Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, s 15.
[2] Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam kedah 1962, s 119.
[3] (1978) 3 JH 104.
[4] (1972) 1 JH (1) : 44.
[5] [1969] 2 MLJ 174.
[6] [1982] 2 MLJ 77.
[7] Perlembagaan Persekutuan, Perkara 121 (1A).

IJARAH (SEWA-MENYEWA)

PENDAHULUAN

Sewa-menyewa adalah suatu perjanjian atau kesepakatan di mana penyewa harus membayarkan atau memberikan imbalan atau manfaat dari benda atau barang yang dimiliki oleh pemilik barang yang dipinjamkan. Hukum dari sewa menyewa adalah mubah atau diperbolehkan. Contoh sewa menyewa dalam kehidupan sehari-hari misalnya seperti kontrak mengontrak bangunan pejabat, sewa tapak tanah untuk pertanian, menyewa kenderaan, sewa menyewa vcd dan dvd original, dan lain-lain.

Dalam sewa-menyewa harus ada barang yang disewakan, penyewa, pemberi sewa, imbalan dan kesepakatan antara pemilik barang dan yang menyewa barang. Penyewa dalam mengembalikan barang atau aset yang disewa harus mengembalikan barang secara utuh seperti pertama kali dipinjam tanpa berkurang mahupun bertambah, kecuali ada persetujuan lain yang disepakati sewaktu atau sebelum barang berpindah tangan.

PENGERTIAN IJARAH (SEWA-MENYEWA)

Ijarah atau sewaan adalah satu jenis akad mu’awadah maliah yang popular di kalangan bank-bank islam.[1] Menurut istilah Bahasa Arab, kalimah ijarah adalah merujuk kepada bayaran yang diberikan kepada orang yang melakukan sesuatu kerja sebagai ganjaran kepada apa yang dilakukannya. Ia juga disebutkan sebagai ajr atau ujrah. “Ajjarahu” atau “aajarahu” bermaksud memberi upah kerana kerja yang dilakukan. Perkataan ini hanya digunakan bagi merujuk kepada sesuatu yang memberikan keuntungan dan tidak digunakan untuk sesuatu yang merugikan. Ajr biasanya digunakan bagi merujuk ganjaran akhirat. Sementara ujrah pula merujuk kepada ganjaran dunia.

Menurut istilah fuqaha, seperti yang dinyatakan oleh pengarang Mughni al-Muhtaj: Ijarah ialah kontrak untuk mendapatkan khidmat (manfaat) tertentu yang boleh dibayar dan dihalalkan dengan barangan tertentu. Maksud kontrak untuk mendapatkan khidmat (manfaat) ialah memindahkan hak milik khidmat (manfaat) tersebut. Ini dinyatakan oleh sesetengah takrif sebagai pemindahan hak milik suatu khidmat (manfaat) dan dibayar dengan suatu barangan.[2]
(A)             JENIS-JENIS SEWAAN DAN SYARAT-SYARATNYA

Sewa-menyewa terbahagi kepada dua bahagian. Antara bahagian sewa-menyewa ialah yang pertama ialah sewa manfaat dan yang kedua ialah sewa upah bekerja. Setiap bahagian sewa-menyewa mempunyai syarat-syaratnya yang tersendiri.

PERTAMA: Sewa Manfaat

Apa yang dimaksudkan dengan sewa manfaat ialah menyewakan manfaat dari barang atau aset. Contohnya :  Encik Majid menyewakan rumahnya kepada Encik Ibrahim dengan bayaran RM 550 sebulan untuk tempoh 1 tahun. Sewa menyewa ini tiada khilaf di kalangan para ulama akan keharusannya, bayaran sewa boleh dibuat di awal kontrak sewaan atau secara bertangguh.

Syarat-Syarat Sewa Manfaat

Antara syarat-syarat sewa manfaat ialah:-

1.                                      Perkhidmatan mestilah mempunyai nilai.

Perkhidmatan tersebut diterima dan diperlukan menurut syarak dan amalan kebiasaan orang ramai (uruf), supaya ia boleh dibayar dengan bayaran yang setimpal. Contohnya sewa rumah untuk didiami, atau kenderaan untuk dinaiki. Jika khidmat tersebut tidak bernilai menurut syarak, bayaran tersebut dianggap sia-sia dan membazir. Oleh yang demikian:-

                  i.                        Tidak sah penyewaan peralatan yang melalaikan kerana penggunaannya diharamkan. Demikian juga, tidak sah mengupah pengukir untuk mengukir benda yang bernyawa atau mengupah penyanyi wanita untuk menyanyi kepada bukan mahram, kerana semua ini hukumnya adalah haram.

               ii.                        Tidak sah menyewa anjing untuk memburu atau mengawal kerana binatang tersebut tidak bernilai menurut syarak dan begitulah juga dengan khidmatnya.

            iii.                        Tidak sah mengupah seseorang untuk bercakap tanpa henti walaupun perbuatan tersebut boleh melariskan barangan atau memberikan keuntungan. Begitu juga dengan penyewaan dirham atau dinar untuk tujuan hiasan.

2.                                      Pemilik perkhidmatan mestilah mampu menyerahkan perkhidmatannya supaya penyewa boleh menggunakannya. Jika pemilik tidak mampu menyerahkan khidmat tersebut secara fizikal atau syarak, penyewaan tidak sah. Oleh yang demikian:-

                  i.                        Tidak sah menyewakan barangan yang telah dirampas kepada orang yang tidak memegang barangan tersebut. Sedangkan dia tidak mampu mengambil semula barangan tersebut daripada orang yang memegangnya pada ketika kontrak.

               ii.                        Tidak sah menyewakan tanah untuk tujuan pertanian tetapi tidak ada sumber air yang tetap, sementara hujan atau seumpamanya seperti salji dan embun tidak dapat memenuhi pengairannya.

            iii.                        Tidak sah mengupah wanita dalam haid atau nifas untuk berkhidmat di dalam masjid. Ini kerana perkhidmatan ini memerlukan wanita ini berlegar di dalam masjid, sedangkan perbuatan tersebut tidak dibenarkan walaupun dia boleh menjamin kebersihannya. Sebabnya, syarak hanya membenarkan wanita ini melintas sahaja tetapi tidak dibenarkan sama sekali berada atau berlegar didalamnya. Dengan ini bermakna khidmat wanita ini tidak boleh diserahkan dari segi syarak.

3.                  Khidmat diperolehi oleh pengupah bukan oleh orang yang diupah.

Tidak sah mengupah seseorang melakukan ibadat yang memerlukan kepada niat dan tidak boleh diwakilkan kepada orang lain seperti sembahyang dan puasa. Ini kerana dalam keadaan ini, khidmat (manfaat) disini iaitu pahala menjadi hak orang yang diupah bukan orang yang mengupah. Sebabnya, tujuan ibadat ialah menguji ketaatan dan ketundukan jiwa manusia. Ini tidak dapat dilakukan oleh orang lain selain pelakunya sendiri. Namun demikian mengupah seseorang melakukan ibadat yang boleh diwakilkan adalah sah walaupun ibadat tersebut memerlukan niat. Dengan ini, mengupah seseorang melakukan haji bagi pihak orang yang tidak berupaya atau telah meninggal dunia adalah    sah. Begitu juga dengan puasa bagi pihak orang yang telah meninggal dunia. Termasuklah ibadat korban, sembelihan haji dan mengagihkan zakat. Ini kerana semua ibadat ini dibenarkan oleh syarak untuk dilakukan oleh wakil bagi pihak yangdipertanggungjawabkan. Begitu juga dengan mengajar seluruh atau sebahagian Al-quran. Ini kerana pada dasarnya pembelajaran wajib ditanggung oleh pelajar atau oleh orang yang menanggung perbelanjaannya. Menurut riwayat yang sahih, Rasulallah s.a.w. bersabda, maksudnya: “ sesunguhnya upah yang paling berhak kamu ambil ialah kitab Allah”.[3]

4.                  Khidmat (manfaat) disewa bukan bertujuan mendapatkan barangan.

Dengan ini tidak sah menyewa kebun untuk mendapatkan buah-buahannya. Tidak sah menyewa kambing untuk mendapatkan bulu, susu dan hasilnya. Ini kerana, pada dasarnya, kontrak sewa ialah pemilikan khidmat. Oleh itu kontrak sewa tidak boleh dilakukan dengan tujuan mendapatkan barangan. Selain itu, perbuatan seperti ini sebenarnya merujuk kepada penggunaan barangan secara langsung, bukan penggunaan khidmat barangan tersebut. Konteks sewa ialah penggunaan khidmat, bukan penggunaan barangan. Jika kontrak sewa membabitkan penggunaan barangan secara sampingan dan bukan menjadi tujuan kontrak, ia dibenarkan. Contohnya apabila seseorang mengupah seorang wanita sebagai pengasuh dan penyusu atau sebagai penyusu sahaja, kontrak ini dengan sendirinya membabitkan penggunaan susu penyusu yang merupakan suatu barangan. Perbuatan ini sah kerana darurat atau hajat yang perlu.
Firman Allah s.w.t :

Maksudnya: “jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya”
(Surah  At-Talaq: 6 )

5.                                      Khidmat mestilah dimaklumi oleh kedua-dua pihak dari segi barangan, sifat dan kadarnya.
Syarat sah sesuatu kontrak sewa ialah:-

        i.            Maklumat mengenai barangan perkhidmatan. Maklumat ini membabitkan pengetahuan mengenai kedudukan barangan tersebut. Oleh itu tidak sah penyewaan salah satu daripada dua buah rumah tanpa ditentukan yang mana satu. Ini kerana barangan yang disewa tidak diketahui disebabkan kedudukannya tidak diketahui. Begitu juga jika pemilik berkata “ Saya sewakan kepada anda sebuah rumah.”, tanpa dinyatakan sifat atau dirujuk kepada rumah tertentu. Ini kerana perkhidmatan adalah perkara pokok dalam kontrak sewa. Oleh itu ia perlu dinyatakan dengan jelas bagi mengesahkan kontrak tersebut. Oleh kerana perkhidmatan adalah sesuatu yang bukan berbentuk benda yang boleh dijelmakan atau ditentukan, maklumat mengenainya boleh digantikan dengan maklumat mengenai kedudukan barangan tersebut. Dengan ini, maklumat mengenai kedudukan barangan mengambil alih maklumat mengenai khidmat tersebut.

      ii.            Maklumat mengenai jenis dan sifat perkhidmatan (manfaat). Perkara ini perlu bagi barangan yang mempunyai kegunaan berbeza mengikut pengguna dan pengunaannya tidak boleh ditolak ansur.

    iii.            Maklumat mengenai kadar khidmat. Kadar perkhidmatan berbeza mengikut jenis perkhidmatan. Ada yang dinilai berdasarkan masa pengunaan. Ada yang dinilai berdasarkan kerja yang dilakukan. Ada yang dinilai berdasarkan kedua-dua perkara tadi.

KEDUA: Upah Bekerja

Apa yang dimaksudkan dengan upah bekerja ialah menyewakan manfaat kerja dan kemahiran diri. Dalam kontek ijarah ini, apa yang dijadikan al-ma'qud alaihi (المعقود عليه  ) adalah kerja itu sendiri. Iaitu sebagai timbal balas kerja dan kepakarannya dalam kerja, ia dibayar upah tertentu, seperti menggaji seorang pembantu rumah, tukang kasut, tukang jahit, jururunding, peguam, kakitangan syarikat dan lain-lain.

Syarat-Syarat Upah Bekerja

Bayaran upah perlu mengikut syarat yang sama sebagaimana syarat pembayaran dalam kontrak jual beli. Ini kerana bayaran ini sebenarnya ialah bayaran kepada perkhidmatan yang ingin dimiliki melalui kontrak sewa. Antara syarat-syarat upah bekerja yang telah ditetapkan ialah:-

1.                  Bayaran sewa mestilah bayaran yang suci.

Kontrak sewa tidak sah jika bayaran sewa atau upah berupa anjing atau khinzir atau kulit yang belum disamak atau arak kerana semua barangan ini najis. Menurut Sahih al-Bukhari dan sahih Muslim, Rasulallah s.a.w melarang bayaran berupa anjing. Menurut riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Allah dan rasulnya mengharamkan jual beli arak, bangkai, khinzir dan berhala”. Begitu juga dengan barangan yang terkena najis dan tidak boleh dibersihkan seperti cuka, susu, minyak, cecair, minyak masak dan minyak sapi. Ini kerana Nabi s.a.w pernah memerintahkan agar minyak yang cair dibuang jika terkena najis.
Ibnu Hibban meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah r.a, maksudnya:  Rasulallah s.a.w pernah ditanya tentang tikus yang terjatuh ke dalam minyak, lalu mati? Baginda menjawab: “Jika ia beku, buang sekelilingnya dan makanlah. Jika ia cair, jangan dekatinya.”
Dalam riwayat lain disebut: “Hendaklah kamu buang.”

Oleh kerana barangan ini tidak sah dijual kerana najis, ia juga tidak sah dijadikan sebagai bayaran upah dan sewa. Hukum ini diqiaskan kepada semua barangan yang terkena najis.

2.                                      Bayaran sewa boleh dimanfaatkan.

Tidak sah memberikan bayaran sewa atau upah berbentuk sesuatu yang tidak boleh dimanfaatkan kerana tidak bernilai seperti serangga atau dua biji gandum, atau kerana bahayanya seperti haiwan buas, atau kerana diharamkan oleh syarak seperti alat yang melalaikan, berhala, dan ukiran. Ini kerana barangan ini dan yang seumpamanya tidak bermanfaat dan tidak boleh dinilai dengan harta. Oleh itu, ia tidak sah digunakan sebagai tukaran untuk menerima sesuatu yang lain. Perkhidmatan yang menjadi isi kontrak sewa adalah suatu harta yang bernilai. Oleh itu, ia tidak boleh dibayar dengan sesuatu yang tidak diiktiraf sebagai harta.

3.                                      Mampu diserah.

Tidak sah bayaran sewa atau upah berupa burung yang masih di udara atau ikan yang masih dalam sungai. Tidak sah juga jika ia berupa barangan rampasan kecuali jika diberikan kepada orang yang memegang barangan tersebut atau orang yang mampu mengambilnya semula.

4.                                      Pihak yang berkontrak mempunyai kuasa (wilayah) untuk menyerahkannya.

Maksud kuasa (wilayah) di sini sama ada sebagai pemilik atau sebagai wakil. Jika bayaran sewa atau upah tersebut di luar kuasa pihak yang mengikat kontrak, kontrak tersebut adalah sama sekali tidak sah.

5.                  Bayaran sewa atau upah diketahui oleh kedua-dua pihak.

Tidak sah sewa rumah jika dibayar dengan keperluan baik pulih rumah tersebut. Tidak sah sewa kereta jika dibayar dengan minyaknya. Tidak sah menyewa seekor haiwan jika dibayar dengan memberi makannya. Sebabnya kadar bayaran sewa tidak dapat dipastikan. Termasuk dalam ertikata kadar bayaran sewa atau upah yang tidak pasti ialah sebahagian daripada upah diperolehi daripada hasil kerja orang yang diupah. Contohnya, upah menyembelih kambing dan melapahnya dibayar dengan kulit atau sebahagian anggota kambing tersebut. Ini kerana ketebalan kulit dan kadar anggota kambing tersebut tidak diketahui.

(B)      SEBAB-SEBAB AKAD TRANSAKSI SEWA AKAN TERBATAL ATAU BERAKHIR MENURUT PENDAPAT MAZHAB SYAFI’E

Kontrak sewa adalah suatu kontrak atau transaksi yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua pihak. Maksudnya, selepas kontrak atau transaksi tersebut disahkan, pemilik dan penyewa, atau pengupah dan orang upahan tidak oleh membatalkan kontrak atau transaksi tersebut begitu sahaja pada bila-bila masa yang mereka kehendaki. Kontrak atau transaksi  ini hanya boleh dibatalkan kerana sesuatu sebab. Apabila ia dibatalkan, kontrak atau transaksi tersebut dianggap tamat.

Sebab Yang Membatalkan Transaksi Sewa Menurut Pendapat Mazhab Syafi’e

Di antara sebab  yang boleh menyebabkan sesuatu Transaksi Sewa terbatalkan atau berakhir menurut pendapat Mazhab Syafi’e ialah:-

1.                                      Barangan yang disewa rosak.

Jika penyewa menyewa sebuah rumah atau kereta dan kemudian rumah tersebut musnah atau kereta tersebut rosak sebelum ia digunakan, kontrak tersebut terbatal. Ini kerana khidmat barangan tersebut yang menjadi subjek sewaan tidak lagi boleh digunakan. Selain kerosakan, termasuk dalam erikata ini ialah jika barangan tersebut cacat sehingga tidak boleh digunakan untuk tujuan yang dikehendaki. Jika kerosakan atau kecacatan tersebut berlaku selepas sebahagian khidmatnya digunakan, kontrak tersebut terbatal bermula daripada kerosakan tersebut berlaku dan seterusnya. Pemilik berhak memperolehi bayaran sewa bagi khidmat yang telah digunakan iaitu sebahagian daripada jumlah bayaran sewa yang telah dipersetujui bersama. Jika kontrak sewa ialah kontrak sewa jaminan. Contohnya, penyewa menyewa sebuah kereta yang dinyatakan sifat-sifatnya secara jaminan pemilik supaya dia dihantar ke sesuatu tempat, dan kereta tersebut dibawa kepada penyewa tetapi kemudiannya rosak atau cacat, kontrak ini tidak terbatal. Sebaliknya pemilik perlu menggantikannya dengan kereta lain, sama ada kerosakan berlaku sebelum atau selepas khidmat tersebut digunakan. Ini kerana khidmat yang dijanjikan tidak luput hanya kerana kereta yang disediakan itu rosak, disebabkan kontrak tersebut tidak merujuk kepada kereta tertentu, sebaliknya merujuk kepada kereta yang dinyatakan dengan ciri-ciri tertentu dan ini boleh diganti. Sepertimana barangan sewaan yang dinyatakan tadi, begitu juga dengan orang upahan. Apabila pengupah mengupah orang tertentu untuk melakukan sesuatu kerja, kemudian orang upahan ini mati atau sakit yang menyebabkan dia tidak boleh melakukan kerja tersebut, kontrak sewa tersebut terbatal. Jika kontrak sewa tersebut dalam bentuk jaminan, lalu orang upahan ini datang membawa seseorang untuk bekerja, kemudian orang ini mati atau sakit, kontrak tersebut tidak terbatal kerana khidmat tersebut boleh diperolehi melalui orang lain.

2.                                      Barangan sewaan tidak diserahkan pada masa yang ditetapkan.

Bagi kontrak sewa yang membabitkan barangan sewaan dan khidmatnya ditetapkan hanya untuk tempoh tertentu, apabila tempoh ini tamat dan pemilik masih tidak menyerahkan barangan sewaan yang ditetapkan, kontrak tersebut terbatal. Ini kerana barangan tidak dapat diserahkan pada masa yang ditetapkan. Hukum yang sama berlaku kepada kontrak sewa jaminan, sekiranya pemilik tidak menyerahkan khidmat yang dipersetujui pada masa yang ditetapkan. Namun jika tiada masa yang ditetapkan untuk pemilik menyerahkan khidmat tersebut dan tindakan tidak menetapkan waktu penyerahan tidak memberi kesan kepada tujuan asal penyewa, manakala pemilik pula hanya menyerahkan khidmat tersebut setelah masa perkhidmatan tersebut boleh digunakan telah berlalu, kontrak ini tidak terbatal kerana kontrak ini ibarat hutang yang lewat ditunaikan. Jika pemilik menyerahkan atau membawa barangan yang disewa setelah tamat sebahagian daripada tempoh sewa. Kontrak bagi tempoh sebelum penyerahan tersebut dianggap terbatal. Sementara tempoh selebihnya terserah kepada penyewa untuk membuat pilihan. Jika khidmat yang ditawarkan ditetapkan berdasarkan kerja dan barangan yang perlu digunakan lewat diserahkan bagi membolehkan kerja tersebut diselesaikan, kontrak tersebut tidak terbatal kerana kontrak tersebut hanya melibatkan khidmat bukan masa. Oleh itu tiada sebab untuk ia tidak selesaikan sehingga kontrak tersebut perlu dibatalkan.


(C)                             KEPENTINGAN TRANSAKSI SEWA-MENYEWA DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

Transaksi sewa menyewa mempunyai kepentingan tersendiri dan tidak kurang pentingnya dalam kehidupan seharian. Antara kepentingan transaksi sewa-menyewa ialah:-

1.      Memberi peluang kepada seseorang yang tidak memiliki barang tertentu menggunakannya. Manakala pemilik barangan pula dapat memperluaskan rezeki.

2.      Untuk mewujudkan perasaan bantu-membantu dan amanah terhadap barangan orang lain.

3.      Dapat mengeratkan hubungan dan mewujudkan kasih sayang yang lebih kukuh di antara masyarakat.

4.      Sebagai salah satu bentuk pertolongan yang dapat diberikan oleh golongan berada kepada golongan yang masih memerlukan.

5.      Membuka peluang kepada golongan yang mempunyai kemampuan dari segi kepakaran atau tenaga untuk memperluaskan atau mengembangkan pendapatan mereka.

KESIMPULAN

Setelah apa yang telah dibahaskan iaitu berkaitan akad sewa menyewa di atas, apa yang dapat disimpulkan dengan lebih tepat berkaitan sewa-menyewa ialah sewa menyewa adalah suatu perjanjian atau kesepakatan di mana penyewa harus membayarkan atau memberikan imbalan atau manfaat dari benda atau barang yang dimiliki oleh pemilik barang yang dipinjamkan.
Selain daripada itu hukum sewa-menyewa terutama sekali dalam kehidupan seharian adalah dibolehkan menurut syari’at Islam berdasarkan dalil Al-Qur’an , hadis, dan perbahasan para ulama terutama sekali perbahasan menurut mazhab Syafie. Antara lainnya pula transaksi sewa-menyewa sangat dianjurkan oleh Islam kerana didalam setiap transaksi diantara orang yang menyewa dan memberi sewa mengandungi unsur tolong-menolong dan bantu membantu.


[1] Zaharuddin Abd. Rahman. 2009. Panduan Perbankan ISLAM, Kontrak & Produk Asas. Telaga Biru Sdn. Bhd.
[2] Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie m/s 1483. Pustaka Salam Sdn. Bhd.
[3] [Riwayat al-Bukhari, Perubatan, Bab syarat jampi dengan bahagian kambing daripada ibnu Abbas r.a, no.   5405].